Welcome Guest, please Login or Register
Home Breakcrum Official Text Speech
 


Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita dapat melihat kemunculan satu gedung pasaraya yang dimiliki sepenuhnya oleh usahawan Bumiputra. Inilah berkat ketabahan dan kecekalan.

Kemunculan pasaraya ini adalah satu usaha yang berani dan petanda yang nyata kepada usahawan Bumiputera yang lain bahawa bidang ini juga mampu diterokai dan disaingi oleh usahawan Melayu.

Kita tidak harus gentar kepada saingan yang ada di sekeliling kita, tetapi haruslah sentiasa bekerja keras agar kita terus berdayasaing. Kreativiti adalah satu lagi ciri yang harus diberi perhatian. Ini kerana dalam bidang perniagaan yang penuh dengan saingan terutamanya daripada peniaga yang telah terlibat sekian lama, kita harus sentiasa memikirkan strategi yang baru yang mampu memikat pelanggan. Jadilah peniaga yang cekal, kreatif dan sensitif kepada persekitaran agar kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan peniaga-peniaga lain.

Saya juga ingin menggesa peniaga-peniaga khususnya peniaga Bumiputera agar terus menimba pengalaman. Tingkatkanlah pengetahuan dan amalkan sikap bekerjasama yang utuh. Jangan hanya leka dengan idea sendiri kerana, tanpa kita sedari, idea kita itu mungkin masih lemah dan mudah dilumpuhkan. Peniaga harus sanggup belajar dan rela mendengar dan bukan bersikap ego sehingga akhirnya kita tidak sensitif akan kemahuan sebenar para pelanggan.

Akhir kata, saya ucapkan tahniah sekali lagi dan Selamat Maju Jaya.

Sekian terima kasih dan salam perpaduan.